Dapatkan pandangan PakTeh..!

Tuesday, December 20, 2011

Persiapan Awal dan Budget...untuk membeli rumah.

Saudara seorang kakitangan kerajaan dan ingin membeli rumah dengan menggunakan Pinjaman Perumahan Kerajaan (PPK). Membeli rumah merupakan pengalaman pertama seumur hidup hampir kepada semua orang. Justeru itu, ianya bukannya suatu perkara yang mudah tetapi jika kita mengetahui tentang selok belok yang betul dan mempersiapkan diri dengan pengetahuan yang sepatutnya sebelum membuat keputusan membeli, ia sebenarnya tidaklah sesukar mana. Kongsikan bersama jika ada yang ingin ditambah, tanya PakTeh jika kurang pasti!

Antara yang perlu diberi perhatian adalah persiapan awal dan budget... apabila telah bersedia untuk membeli rumah. Berdasarkan pengalaman PakTeh, ramai yang terkejut dengan kos yang terpaksa mereka tanggung setelah membayar duit cengkeram dan bersetuju untuk menempah sesebuah unit rumah. Ada yang masih kurang pasti kelayakan dan keperluan awal setelah membeli rumah. Pastikan Saudara baca persiapan awal dan budget yang perlu diketahui ini khusus untuk saudara yang menggunakan Pinjaman Perumahan Kerajaan :-
  1. Deposit - walaupun Pinjaman Perumahan Kerajaan memberikan pembiayaan sehingga 100% berdasarkan kelayakan, sebaiknya pastikan saudara mempunyai budget 10% daripada harga rumah yang ingin dibeli sebagai deposit.  Sebagai contoh, jika harga rumah yang hendak dibeli adalah RM300,000 maka saudara perlu mempunyai budget RM30,000 untuk wang deposit 10% tersebut.  Jika ini merupakan pembelian pertama, maka anda mempunyai pilihan untuk mengeluarkan simpanan Akaun 2, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) anda.
  2. Kos Guaman dan lain-lain - berdasarkan pengalaman PaKTeh, pembeli perlu menyediakan tambahan 5% daripada harga rumah untuk kos-kos berkaitan pembelian rumah dan urusan pinjaman seperti kos guaman, duti setem, urusan pinjaman dan sebagainya. Sebagai contoh, jika harga rumah yang hendak dibeli adalah RM300,000 maka saudara perlu mempunyai budget RM15,000 untuk kos tersebut sebanyak 5% tersebut. Kos ini dapat dikurangkan jika saudara  membuat pembelian rumah pertama kerana duti setem yang lebih rendah (berdasarkan Bajet 2011 duti setem hanya 50% untuk pembelian rumah  pertama). Jika tidak, saudara perlu mencari sumber lain seperti tabungan, pinjaman peribadi, keuntungan jual rumah yang lain dan sebagainya.
  3. Kes Bina Rumah - jika saudara ingin membina rumah sendiri maka saudara perlu mempertimbangkan budget perundingan dan perkhidmatan akitek sehingga pelan diluluskan anggaran 5% dari harga rumah. Kos arkitek 2%, C&S engineer 1% and M&E engineer 1%.. kalau ada QS campur laa lagi 1%.. So sekali lagi, jika bercadang untuk membina rumah RM300,000 maka kena tambah RM15,000 untuk urusan tersebut... boleh kan! (Bermula 2015 saudara perlu sediakan tambahan lagi 6% untuk GST).
  4. Kelayakan Asas - perkara ini perlu difahami sebelum saudara membuat komitmen untuk membeli rumah dan seterusnya membuat permohonan pinjaman. Kelayakan asas bagi membolehkan membuat permohonan PPK adalah :
    • Pegawai Tetap yang sedang berkhidmat dalam Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri atau Badan Berkanun atau Pihak Berkuasa Tempatan;
    • Warganegara Malaysia;
    • Telah berkhidmat sekurang-kurangnya satu (1) tahun dan telah disahkan jawatan; dan
    • Bukan seorang bankrap atau siberhutang hukuman atau seorang tidak berkemampuan kewangan atau sedang diambil tindakan tatatertib bagi tujuan buang kerja.
  5. Kelayakan Pinjaman - ramai yang keliru berkaitan kelayakan Pinjaman Perumahan Kerajaan. Terdapat 2 perkara yang sering digunakan untuk menentukan kelayakan :
    • Peraturan BPP : kelayakan pinjaman adalah berdasarkan kepada gaji pokok mengikut jadual seperti di dalam pekeliling dengan syarat potongan gaji tidak melebihi 60% daripada gaji pokok (tidak termasuk potongan lain).
    • Peraturan Jabatan : sesetengah jabatan mempunyai peraturan pentadbiran bagi menyokong sesuatu permohonan Pinjaman Perumahan Kerajaan. Peraturan yang sering digunapakai adalah jumlah potongan tidak boleh melebihi 60% daripada jumlah pendapatan (gaji pokok+elaun-elaun) termasuk potongan lain yang berada di dalam slip gaji. Oleh itu, pastikan dahulu sama ada jabatan saudara ada mengunapakai peraturan ini sebelum membeli rumah.
Jika saudara mendapati bahawa saudara telah melepasi syarat dan mempunyai budget yang diperlukan seperti yang telah dinyatakan di atas, saudara bolehlah terus ke langkah seterusnya untuk memiliki rumah iaitu memilih rumah. Jumpa saudara di dalam topik seterusnya...jika saudara kurang pasti, tanyalah PakTeh.